Jumaat, 25 Mac 2011

MAQASID AL-SHARI`AH: AKTUALISASINYA DI RANAH KEMASYARAKATAN DAN KEMANUSIAAN

MAQASID AL-SHARI`AH: AKTUALISASINYA DI RANAH KEMASYARAKATAN DAN KEMANUSIAAN

Siddiq Fadzil


Hukum dan amal tidak disyari`atkan semata-mata demi hukum dan amal itu sendiri, tetapi untuk mencapai objektif maslahah bagi umat. Yang dimaksudkan dengan maslahah pada asasnya ialah segala yang membawa manfaat, dan segala yang mencegah mudarat. Dalam pemikiran maqasidi, amal yang tampak sekali imbas bersifat semata-mata ta`abbudiy dan ukhrawi seperti ibadat solat dan puasa pada hakikatnya adalah amal dwi-dimensi: dimensi ta`abbud iaitu pengabdian murni, bukti kepatuhan mutlak kepada Yang Maha Pencipta; dan dimensi ta`lil iaitu sebab (`illah) pensyari`atannya yang berupa maslahah - hikmat dan matlamat (tersurat dan tersirat) di balik sesuatu hukum. Perintah dan larangan keagamaan adalah mu`allal, bersebab dan didasari rasional maslahah tertentu. Hikmat, matlamat atau objektif yang hendak dicapai menerusi pelaksanaan ajaran syara’ itulah yang diistilahkan sebagai maqasid al-shari`ah (matlamat murni syari`at). Maqasid (semakna dengan maqsud) adalah bentuk jamak bagi kata maqsid yang bererti matlamat yang disasarkan, atau objektif yang hendak dicapai. 



Penghayatan syari`at  dalam erti yang setepatnya harus meliputi kedua-dua: pelaksanaan hukum-hakam dan realisasi maqasidnya. Justeru, maqasid adalah umpama buah bagi pokok - melaksanakan hukum, tetapi gagal mencapai maqasidnya adalah ibarat menanam pokok,  tetapi gagal memetik buahnya, sebagaimana yang diungkapkan oleh al-Raysuniy (al-Fikr al-Maqasidiy: h.17).


 
Rumusan al-Maqasid

Al-Imam al-Ghazaliy r.`a. adalah perumus pertama al-maqasid yang meliputi lima objektif utama:
  • Pemeliharaan agama (hifz al-din)
  • Pemeliharaan jiwa (hifz al-nafs)
  • Pemeliharaan akal (hifz al-`aql)
  • Pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl)
  • Pemeliharaan harta (hifz al-mal).

Rumusan lima maqasid tersebut kemudian dikenali sebagai al-daruriyyat al-khamsa, al-kulliyyat al-khamsa dan al-usul al-khamsah. Kelima-lima prinsip yang juga merupakan keperluan asasi manusia itulah pula yang dipadatkan dengan satu kata: maslahah, dengan implikasi bahawa sebarang gangguan terhadapnya adalah mafsadah (kerosakan). Para ulama umumnya menyepakati kelima-lima objektif tersebut, meskipun ada perbezaan dari segi pengurutannya. Malah menurut Imam al-Maqasid al-Shatibiy lima maqasid tersebut bersifat universal. Namun demikian, penetapan lima objektif tersebut sebenarnya bukanlah penetapan simpul mati. Kerana itu, ada ulama (al-Qurafiy, al-Tufiy, al-Subkiy dan al-Shawkaniy) yang menambahnya menjadi enam dengan memasukkan al-`ird (maruah atau kehormatan diri). Sementara itu dalam wacana masa kini tentang maqasid al-shari`ah, ada saranan penambahan dan pengembangan kepada lima objektif tersebut. Memang ketika ini sedang berlaku fenomena keghairahan baru dalam pengkajian al-maqasid. Fenomena inilah yang disebut oleh al-Raysuniy sebagai al-sahwah al-maqasidiyyah (kebangkitan kembali pemikiran maqasidi). Pada era perubahan pesat dalam pelbagai bidang, dan timbulnya isu-isu baru yang memerlukan penyelesaian syar`i, para ilmuwan Muslim berasa terpanggil untuk berijtihad. Untuk itu mereka harus memahami sedalam mungkin tentang al-maqasid. Memang al-maqasid menempati posisi yang sentral dalam ijtihad dan istinbat. (Balajiy, `Abd al-Salam, 2007: 283-290). Di tengah semarak kesedaran baru tentang peri pentingnya al-maqasid itulah tampilnya tokoh-tokoh seperti al-Shaykh Muhammad al-Ghazaliy, Dr. Yusuf al-Qaradawiy dan lain-lain yang menyuarakan keperluan memasukkan objektif memelihara kebebasan, dan memelihara keadilan ke dalam komponen maqasid al-shari`ah.       

Anjakan Gaya Pandang Terhadap al-Maqasid

Wacana masa kini tentang maqasid al-shari`ah memperlihatkan perkembangan baru dari segi gaya pandang. Al-Raysuniy misalnya cuba melihat persoalan al-maqasid dari perspektif hak asasi manusia. Beliau mengangkat hak-hak asasi manusia sebagai paksi al-maqasid. Sementara itu Dr. Jamal al-Din `Atiyyah menyarankan anjakan dari al-kulliyyat al-khamsa ke al-Majalat al-Arba`ah, realisasi al-maqasid dalam empat ranah kehidupan: individu (al-fard), keluarga (al-usrah), umat (al-ummah), dan kemanusiaan sejagat (al-insaniyyah).

Melaksanakan syari`at dalam konteks kehidupan individu adalah untuk merealisasikan objektif pemeliharaan jiwa-raganya, akal-budinya, penghayatan agamanya, kehormatan dirinya, dan keselamatan hartanya. Dalam konteks kehidupan kekeluargaan pula syari`at dilaksanakan untuk mencapai objektif pengaturan hubungan antara dua jenis makhluk manusia (lelaki-perempuan), kelanjutan zuriat, kedamaian dan kasih-sayang, kejelasan nasab keturunan, komitmen keagamaan (tadayyun l religiosity), pemantapan keluarga sebagai sebuah institusi, dan pengurusan harta keluarga secara benar.

Al-Maqasid di Ranah Kemasyarakatan dan Kemanusiaan

Objektif murni syari`at yang terkandung dalam al-kulliyyat al-khamsa tidak hanya untuk kepentingan individu, tetapi harus meratai seluruh warga umat dan manusia sejagat. Al-Shaykh Ibn `Ashur disebut sebagai tokoh pertama yang memperingatkan hakikat tersebut. Mungkin peringatan inilah yang disambut oleh Dr. Jamal al-Din `Atiyyah dengan membuat huraian tentang aktualisasi al-maqasid dalam pelbagai bidang kehidupan: perseorangan (individu), kekeluargaan, keumatan dan kemanusiaan. Makalah ini akan memakai acuan Dr. `Atiyyah dalam perbincangan tentang al-maqasid dengan tumpuan pada ranah keumatan dan kemanusiaan.

Dalam bidang kehidupan kolektif (keumatan dan kemanusiaan), antara objektif (maqasid) yang harus direalisasikan termasuklah:

Memastikan wujudnya umat secara nyata dengan esensi hakikinya, dan ciri-ciri khasnya.

Untuk itu institusi-institusi keumatan seperti baitulmal, masjid, sekolah, mahkamah, kepolisan dan sebagainya harus diperkasa, ditingkatkan wibawa dan integritinya agar umat terus hidup sebagaimana layaknya walau apa pun perubahan -- sosial-ekonomi-politik – yang berlaku. Untuk mencapai objektif kewujudan umat secara yang bererti, syari`at Islam sangat menekankan semangat kesatuan ummatik atau wahdat al-ummah berasaskan kesatuan `aqidah, kesatuan syari`ah, dan kesatuan budaya (khususnya bahasa). Ini tidak bererti bahawa serba-serbinya harus satu. Dalam bingkai kesatuan berasaskan tiga tonggak di atas (`aqidah, shari`ah, thaqafah/lughah), wujud ruang yang secukupnya bagi perbezaan dan kepelbagaian. Kesatuan ummah tidak menghalang wujudnya kepelbagaian mazhab fiqh, kepelbagaian aliran ilmu kalam, dan kepelbagaian parti politik. Yang penting adalah kesepakatan prinsip-prinsip asasi dan kesamaan rujukan terakhirnya - al-Kitab dan al-Sunnah.

Objektif pewujudan ummah secara nyata dan real harus dicapai menerusi pembinaan ciri khayriyyat al-ummah, ciri keunggulan umat (khayra ummah): komitmen terhadap pengembangan nilai-nilai kemakrufan, dan pemberantasan elemen-elemen kemungkaran berasaskan semangat keimanan kepada Allah. Demikianlah umat yang religious, memiliki kepedulian sosial yang tinggi, dan komited terhadap idealisme pembinaan masyarakat berasaskan iman (faith-based) dan nilai-nilai sakral keagamaan. Objektif tersebut juga harus direalisasikan menerusi pembudayaan amal kolektif, berorganisasi dan bersemangat musyawarah (shura).

Objektif pencapaian keamanan, keselamatan dan kedamaian bagi seluruh warga dengan memberikan perlindungan terhadap jiwa, kehormatan (maruah) dan hartabenda, menerusi pelaksanaan undang-undang yang berkesan, termasuk hukuman yang setimpal terhadap sebarang pelanggaran aturan. Untuk itu juga harus dilaksanakan langkah-langkah pendamaian sengketa antara golongan, dan penertiban terhadap sebarang gejala penganiayaan antara kelompok sebagaimana yang disebut dalam surah al-Hujurat 9/49.

 
“Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah Allah; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

Objektif penegakan keadilan dalam semua bidang menerusi pelaksanaan syari`at. Justeru, syari`at pada hakikatnya tidak lain adalah jelmaan keadilan Ilahi terhadap hamba-hamba-Nya. Keadilan adalah antara maqasid yang utama, dan keadilan juga adalah ajaran yang menjadi esensi semua agama samawi sebagaimana yang terungkap surah al-Hadid 25/57:


“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.”
Dalam kaitan ini kata-kata Ibn Taymiyyah tentang keadilan sebagai asas survival umat banyak dipetik oleh para pejuang keadilan. Katanya:

 
Demikianlah pentingnya keadilan menurut Ibn Taymiyyah sehingga beliau menyimpulkan bahawa pertolongan Allah tersalur kepada negara yang adil, meskipun kafir; dan tidak tersalur kepada negara yang zalim, meskipun Muslim. Keadilanlah yang boleh membawa survival dunia meskipun bersama kekafiran. Sebaliknya kezalimanlah yang membawa kehancuran meskipun ia bersama "Islam".

Keadilan tidak hanya terbatas di kalangan sesama Muslim, tetapi meliputi seluruh warga masyarakat, termasuk yang bukan Muslim. Mereka berhak mendapat pelayanan yang adil berdasarkan hak-hak asasi manusia. Malah menurut perspektif Islam, seperti yang dinyatakan oleh Muhammad `Imarah, apa yang disebut sebagai "hak-hak asasi" kemanusiaan itu pada hakikatnya bukan hanya hak, tetapi daruriyyat atau keperluan asasi yang tidak boleh dipisahkan dari kemanusiaan. Selain itu mereka juga berhak dilayani sebagaimana layaknya, sesuai dengan status mereka sebagai warganegara. Pengkelasan warga bukan Muslim ke dalam kategori dhimmi, harbiy dan mu`ahid sudah tidak relevan lagi kerana realiti sejarah telah berubah. Dasar pengkategorian sedemikian telah kehilangan justifikasi kesejarahan, dan kerana itu status mereka adalah warganegara. Realiti sedemikian itulah yang mendasari perbincangan Fahmi Huwaydiy dalam bukunya Muwatinun La Dhimmiyyun.



Demikianlah hakikat keadilan sebagai maqsid atau objektif utama syari`at yang wajib dilaksanakan terhadap siapa sahaja, termasuk musuh sebagaimana yang diisyaratkan dalam Surah al-Ma'idah 8/5:


“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
Objektif pemeliharaan agama dan akhlak dengan menjadikannya bahagian daripada sistem kehidupan kolektif warga masyarakat. Yang dimaksudkan dengan pemeliharaan agama tidak hanya pengawalan prinsip-prinsip agama dari kerosakan dan pencemaran, tetapi juga pemeliharaannya dari segi pengamalan dan penghayatannya (iqamat al-din). Untuk itu harus ada dasar dan tindakan meningkatkan tahap religiosity masyarakat. Hakikat kepentingan akhlak sebagai salah satu maqasid yang utama terungkap dalam sabda nabawi:


Pensyari`atan hukum-hakam dalam segala bidang – ibadat, munakahat, muamalat, jinayat – semuanya mengandungi hikmah dan motif penyucian jiwa dan pembinaan akhlak mulia.

Objektif kerjasama dan saling bantu (al-ta`awun `ala al-birr) direalisasikan menerusi pembinaan semangat ukhuwwah imaniyyah dan ikatan kemanusiaan. Untuk merealisasikan objektif kerjasama dan semangat kesalingan itulah disyari`atkan hukum-hakam kemasyarakatan seperti zakat, sedekah, wakaf dan pelbagai bentuk infaq lainnya. Kerjasama demi kebaikan bersama harus meliputi seluruh warga, Muslim dan bukan Muslim. Fenomena kepelbagaian (ikhtilaf/plurality) harus disikapi secara positif sebagai ayatu 'Llah atau tanda kebesaran Tuhan, tanda yang mengisyaratkan adanya hikmat, rahmat dan manfaat di sebaliknya. Manusia dari pelbagai kelompok dan golongan pada hakikatnya adalah keluarga besar yang saling memerlukan. Kepelbagaian adalah sumber kekayaan dan kekuatan. Objektif kerjasama dalam hal-hal kebajikan harus merentasi persempadanan kaum dan agama. Nabi s.`a.w. pernah menyatakan rasa senang berpartisipasi dalam hilf al-Fudul, persetiaan bersama kaum `Arab pra-Islam untuk tujuan keamanan. Mengenang penglibatannya dalam persetiaan tersebut Junjungan s.`a.w. berkata:

لو دعيت إليه في الإسلام لأجبت

Dalam kaitan ini perlu dicatat bahawa Islam mewajibkan kesetiaan menepati janji (al-wafa' bi al-`uhud wa al-`uqud) sama ada dengan Muslim atau dengan bukan Muslim.

Objektif memelihara kewarasan akal dan membangun budaya ilmu direalisasikan tidak hanya dengan penguatkuasaan larangan meminum arak dan pengharaman bahan-bahan perosak akal sihat seperti dadah dan lain-lain sejenisnya, tetapi juga dengan pengawalan fikiran rakyat dari keracunan propaganda media penyebar fitnah dan kebohongan; juga dengan pembebasan pemikiran rakyat dari belenggu indoktrinasi ala Fir`aun sebagaimana yang dipaparkan dalam Surah Ghafir 29/40:

 
“Wahai kaumku! Pada hari ini kepunyaan kamulah kuasa memerintah dengan bermaharajalela di muka bumi (Mesir dan sekitarnya; tetapi kiranya keadaan bertukar) maka siapakah yang akan membela kita dari azab Allah kalau azab itu datang menimpa kita? Firaun berkata: Aku tidak mengesyorkan kepada kamu melainkan dengan apa yang aku pandang (elok dijalankan) dan aku tidak menunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang benar.”
Untuk mencapai objektif pencerdasan akal harus ada gerakan melawan strategi pembodohan rakyat, harus ada agenda mendidik rakyat berfikir rasional dan ilmiah, dan harus ada program membina semangat cintakan ilmu. Kewajipan menuntut ilmu seperti yang disabdakan oleh al-Rasul s.`a.w. harus dilaksanakan dengan pembinaan budaya ilmu. Gesaan berfikir sebagaimana yang difirmankan Allah dalam ayat-ayat kitab suci-Nya harus disahut dengan memberikan kebebasan berfikir dan pembukaan ruang untuk berbeza pendapat.

Objektif pengimarahan bumi dan pemeliharaan harta rakyat dengan melaksanakan dasar pembangunan yang mampan, dan pengurusan harta rakyat berasaskan prinsip, nilai dan hukum-hakam keagamaan. Objektif hifz al-mal (pemeliharaan harta) harus diertikan sebagai amanah penjagaan agar tidak hilang atau binasa. Larangan agama terhadap orang safih (bodoh) mengurus harta harus difahami semangatnya, iaitu pengurusan harta (ekonomi) harus dipercayakan hanya kepada yang berkompetensi. Harta rakyat (yang pada hakikatnya adalah milik mutlak Allah s.w.t.) harus dikembangkan dan dibelanjakan demi kesejahteraan mereka, dan bukannya dihabiskan untuk membiayai projek-projek mewah, megah dan membazir. Pembaziran dan pemborosan adalah amalan tercela, jelmaan mentaliti kaum `Ad (umat zaman Nabi Hud `a.s.) yang suka bermegah-megah dengan membina bangunan mercu tanda yang sia-sia di setiap lokasi tanah tinggi. Demikianlah sebagaimana yang dikisahkan dalam al-Qur'an:

 
“Patutkah kamu mendirikan pada tiap-tiap tempat yang tinggi bangunan-bangunan yang tersergam, padahal kamu tidak membuatnya dengan sesuatu tujuan yang baik.”
Termasuk dalam pengertian hifz mal al-ummah (pemeliharaan harta umat) ialah pelaksanaan dasar ekonomi kerakyatan, ekonomi pemberdayaan kaum mustad`afin, dan ekonomi pemerataan agihan kueh negara. Dalam kaitan ini wajar disebut tentang ekonomi kerakyatan yang digagaskan oleh Bung Hatta yang dinilai oleh sebilangan peneliti sebagai gagasan ekonomi yang sejalan dengan maqasid al-shari`ah (Anwar Abbas, 2010).

Demokrasi: Perspektif Maslahah dan Maqasid

Sebagaimana yang telah disebut bahawa al-maqasid pada hakikatnya adalah maslahat al-`ibad (maslahah bagi manusia). Dengan demikian, merealisasikan maslahah yang sah bererti juga merealisasikan al-maqasid. Dalam perbincangannya tentang pemikiran maqasidi (al-fikr al-maqasidiy), al-Raysuniy mengangkat isu faham, semangat dan amalan demokrasi dalam hubungannya dengan maslahah dan maqasid al-shari`ah. Beliau mengatakan andainya demokrasi diamalkan secara benar sebagai wasilah yang murni, tentunya membawa maslahah kepada umat manusia, dan dengan demikian ia termasuk dalam maqasid syari`at Islam. Esensi demokrasi tidak lain adalah pernyataan komitmen terhadap keadilan dan persamaan. Al-Raysuniy menyebutnya sebagai al-musawah al-`adilah atau persamaan yang adil. Dengan definisi tersebut beliau menyimpulkan bahawa idea demokrasi adalah sejati Islami (min samim al-Islam…min samim al-shari`at al-Islamiyyati wa maqasidiha) bersandarkan ayat al-Hadid:25. (Al-Raysuniy, Ahmad, 2009: 146-148)

Dandal Jabr dalam perbincangannya tentang isu plurality politik (al-ta`addudiyyah al-siyasiyyah) dari perspektif al-siyasah al-shar`iyyah menyebut bahawa matlamat utama plurality dan peranan parti pembangkang dalam hubungannya dengan pemerintah pada asasnya adalah untuk merealisasikan al-maslahat al-`amah kenegaraan. Dengan demikian pada dasarnya parti-parti politik berperanan merealisasikan al-maqasid al-shar`iyyah al-mursalah dalam pengertian memperjuang dan mengaktualisasikan pelbagai maslahah ummah – daruriyyah, hajiyah dan tahsiniyahnya. Andainya dipraktikkan secara benar, jujur dan bersih sistem ini dapat menjamin berlakunya peralihan kuasa secara aman, tanpa mendedahkan rakyat kepada bahaya pertumpahan darah. Selain itu pengamalan sistem ini juga dapat memberikan pendidikan politik kepada rakyat, membangkitkan kesedaran politik di kalangan massa masyarakat, dan seterusnya dapat menampilkan pemimpin-pemimpin berkualiti pilihan rakyat. (Jabr, Dandal, 2006: 86).

Maslahah: Catatan Kewaspadaan

Kedudukan maslahah yang begitu sentral, menjadikan sebilangan cendekiawan Muslim sering terobsesi, lalu terlanjur menempatkannya lebih tinggi daripada nass, mengenepikan nass ketika dirasakan bertentangan dengan maslahah. Kecenderungan seperti itulah yang diprihatinkan oleh Dr. Yusuf al-Qaradawiy dengan menegaskan bahawa nass syaraklah yang menentukan sama ada ia benar-benar maslahah atau bukan. Tuhan sendirilah yang lebih tahu mana maslahah dan mana mafsadah.

“tentang dunia dan akhirat. Dan mereka bertanya kepadamu tentang anak yatim, katakanlah: "Mengurus urusan mereka secara patut adalah baik, dan jika kamu menggauli mereka, maka mereka adalah saudaramu dan Allah mengetahui siapa yang membuat kerusakan dari yang mengadakan perbaikan. Dan jika Allah menghendaki, niscaya Dia dapat mendatangkan kesulitan kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Pendirian al-Qaradawiy terumus pada ungkapan,

حيثما وجد شرع الله فثم المصلحة

Di mana terdapatnya hukum (syarak) Allah, di situlah adanya maslahah.

Dalam sejarah pemikiran fiqh memang pernah terjadi kesilapan mengutamakan perkiraan "maslahah" dengan mengenepikan nass. Sebenarnya apa yang diperkirakan sebagai maslahah itu hanyalah dugaan semata-mata. Kerana itu ijtihad sedemikian tidak sah. Ramai kalangan ahli usul al-fiqh ketika membicarakan isu maslahah yang dibatalkan oleh nass merujuk fatwa Qadi Yahya ibn Yahya al-Laythiy yang memutuskan hukuman puasa dua bulan berturut-turut ke atas seorang Amir Andalus atas kesalahan menyetubuhi isterinya pada siang Ramadhan. Hukuman kesalahan tersebut seharusnya pembebasan seorang hamba sebagaimana yang ditetapkan oleh al-Hadith. Tetapi Qadi tersebut membuat perkiraan bahawa hukuman pembebasan hamba tidak mendatangkan kesan pendidikan kepada orang sekaya Amir Andalus itu. Beliau mungkin akan mengulangi kesalahan yang sama setiap hari kerana hukumannya terlalu ringan baginya. Hukuman yang diperkirakan sesuai, dapat mendidik adalah puasa dua bulan berturut-turut. Demikianlah faqih tersebut melihat maslahah dari segi pendidikan Amir, tetapi gagal melihat maslahah yang lebih besar pada hukuman pembebasan hamba. Betapa berertinya pembebasan bagi seorang hamba yang seolah-olah mati hidup kembali. (al-Qaradawiy, Yusuf, 1994:68-70). Pada hukuman inilah terdapatnya maslahah yang hakiki, maslahah pembebasan manusia yang menjadi objektif syari`at, agama Allah yang sememangnya dan selamanya bersemangat emansipatif-liberatif.

Senarai Bacaan:

Al-Qaradawiy,  Yusuf.  1994.  Al-Ijtihad al-Mu`asir Bayna al-Indibat wa al-Ifrat. Kaherah: Dar al-Tawzi` wa al-Nashr.

Al-Raysuniy, Ahmad.  2010.  Madkhal ila Maqasid al-Shari`ah. Rabat:  Dar al-Aman.

------------------  2009.  Al-Fikr al-Maqasidiy  --  Qawa`iduhu wa Fawa'iduhu. Al-Mansurah:Dar al-Kalimah li al-Nashr wa al-Tawzi`.

------------------- 1992.  Nazariyyat al-Maqasid `inda al-Imam al-Shatibiy. Riyad:  al-Dar al-`Alamiyyah li  al-Kitab al-Slamiy.

------------------- et.  al. 2002.  Huquq al-Insan Mihwar maqasid al-Shari`ah. Al-Duhah: Wizarat al-Awqaf wa al-Shu'un al-Islamiyyah.

Anwar Abbas.  2010.  Bung Hatta dan Ekonomi Islam:  Menangkap Makna Maqashid al Syari`ah.

`Atiyyah,  Jamal al-din.  2001.  Naw Taf`il Maqasid al-Shari`ah. Dimashq:  Al-Ma`had al-`Alamiy li al-Fikr al-Islamiy/ Dar al-Fikr.

Balajiy, `abd al-Salam.   2007.  Tatawwur `Ilm Usul al-Fiqh wa Tajadduduhu. Al-mansurah: Dar al-Wafa'.

Jabr, Dandal.  2006.  Al-Ta`addudiyyat al-Siyasiyyah wa Tadawul al-Sultah fi al-Siyasah al-Shar`iyyah. `Amman:  Dar `Imar li al-Nashr wa al-Tawzi`.
                                      
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan