Selasa, 25 Januari 2011

Orang Islam Bekerja Di Premis Arak: Masalah Kerajaan Negeri Selangor Atau Masalah Ummat Islam?

Kita menghargai keprihatinan YB Ronnie Liu Tian Khiew tentang nasib orang Islam yang bekerja di premis arak seandainya mereka dihentikan kerja. Dari sudut kemanusiaan, pendapat YB Ronnie itu memang berhati perut.

Begitu pun, ada orang yang mengatakan bahawa perkara ini ialah masalah kerajaan negeri Selangor dan Majlis Perbandaran Subang Jaya. Lalu, biarkan sahaja mereka yang berpening kepala bertelingkah sesama sendiri. Namun pada hemat saya, perkara ini sebenarnya bukan cuma masalah YB Ronnie atau Yang DiPertua MPSJ atau kerajaan negeri Selangor. Masalah ini adalah masalah seluruh orang Islam di Malaysia amnya dan di Selangor khususnya.

Sebagai orang Islam, pandangan sarwa (worldview) dan pegangan hidup kita berbeza dengan YB Ronnie. (sekurang-kurangnya pada hari ini. Saya doakan ALlah limpahkan hidayah ke atas beliau). Orang Islam bekerja bukan sekadar untuk mendapat gaji tetapi untuk perkara yang lebih besar - iaitu mencari keredhaan ALlah s.w.t.

Dalam Al-Qur'an, pengharaman arak itu sangat jelas dan tidak samar-samar lagi. Dalil pengharaman arak ialah Ayat 90, Surah al-Ma'idah;


"Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya."

dan Ayat 91, Surah al-Ma'idah;


"Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?"
Dalam sunnah RasuluLlah s.a.w juga ada hadith yang menjelaskan bahawa pengharaman arak itu tidak terhad kepada arak itu sendiri malah meliputi apa jua usaha memanfaatkannya,

لَعَنَ اللَّهُ الْخَمْرَ وَشَارِبَهَا وَسَاقِيَهَا وَبَائِعَهَا وَمُبْتَاعَهَا وَعَاصِرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَحَامِلَهَا وَالْمَحْمُولَةَ إِلَيْهِ

Maksudnya: ALlah s.w.t telah melaknat arak, peminumnya, pemberi minumnya, penjualnya, pembelinya, pemerahnya, orang yang memprosesnya dan pemakan harganya (wang hasil penjualan arak).
(Sunan Abu Dawud, Kitab al-Ashribah, Bab Anggur Yang Diperah Untuk Khamr, Hadith No. 3674)

Lantaran, ulama' fiqh merumuskan satu kaedah fiqh yang ringkas tetapi sangat luas: -

ما حرم أخذه حرم اعطاؤه

"Apa yang diharamkan untuk mengambilnya, adalah diharamkan untuk memberinya"

Berdasarkan kepada dalil-dalil di atas, jelaslah bahawa:

1. Islam mengharamkan umatnya mengambil sebarang manfaat daripada arak seperti minum, memberi minum, menjual, membeli, membawa, memproses, meluluskan lesen penjualan arak kepada Islam dan lain-lain yang berkaitan dengannya.

2. Orang Islam haram memberi sebarang perkhidmatan arak kepada orang Islam atau kepada orang bukan Islam samada berbayar atau tidak berbayar.

Oleh sebab itu, terdapat larangan terhadap orang-orang Islam di negeri Selangor daripada menjual dan meminum arak di bawah Seksyen 18 (2) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,
"Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya."

Walaubagaimanapun, kita tidak boleh bersikap pilih kasih dalam hal ini. Jangan kita hanya marah ketika orang bukan Islam terkhilaf dalam memahami agama Islam walhal orang Islam yang terang-terangan kelakuannya menyalahi ajaran Islam dibiarkan berbuat seenaknya. Malah berpura-pura tidak nampak gelagat orang Islam yang menjayakan perkara yang jelas diharamkan oleh Islam. Seharusnya, awal-awal lagi kita mencegah agama Islam daripada diaibkan oleh penganutnya sendiri. Bukan cuma arak yang diharamkan oleh Islam. Judi, riba, zina, fitnah dan lain-lain lagi mestilah turut dijauhi.

Syarikat berkaitan judi juga ada mengambil orang Islam bekerja.

Timbalan Pengerusi Genting Berhad juga Ahli Lembaga Pengarah AmIslamic Bank Berhad?

Darurat apakah yang membolehkan orang Islam bekerja dengan syarikat berkaitan judi?

Orang Islam turut berjudi tanpa segan silu..


Maklumat korporat Guinness Anchor Berhad

Barisan Ahli Lembaga Pengarah Guinness Anchor Berhad

Profail Pengarah-pengarah Guinness Anchor Berhad

Berapa ramaikah orang Islam yang bekerja di kedai 7Eleven?
Berapa ramai orang Islam yang menjadi francaisee kedai 7Eleven?


Berapa ramai pula orang Islam yang membeli arak?


Perkara ini adalah masalah ummat Islam, bukannya hanya masalah YB Ronnie. Kita sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memberi kefahaman tentang ajaran Islam kepada orang Islam dan bukan Islam. Kalau orang Islam diharamkan bekerja di premis arak, maka perjelaskanlah sebabnya dengan penuh hikmah. Biar mereka menerimanya dengan kefahaman. Sekiranya pasaran pekerjaan yang halal masih belum mencukupi, maka wujudkanlah pasaran pekerjaan yang Islami dan sediakan alternatif. Yang menjadi masalah ialah apabila kita mahu cepat kaya dan menjadi kaya sendiri.
Apabila orang Islam dan bukan Islam sudah memahami pandangan Islam mengenai arak dan pasaran pekerjaan yang halal telah diwujudkan sebaiknya, insya-ALlah, masyarakat akan dapat hidup harmoni dalam ketaatan beragama. Sesungguhnya ilmu itu adalah kebenaran. Dan kebenaran itu bukan hanya milik orang tertentu. Maka sebarkanlah ia kepada setiap manusia. Dan jangan pula kebenaran itu disembunyikan.

Buat akhirnya, renungkanlah firman ALlah s.w.t dalam Ayat 42, Surah al-Baqarah,


"Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya."

Jumaat, 14 Januari 2011

Dongeng Rakyat: Kisah Harimau Muda Bertemu Harimau Tua

(Gambar sekadar hiasan)

Harimau Muda duduk di atas pangkuan Harimau Tua ketika Harimau Tua sedang membacakan buku cerita untuknya sebelum tidur. Adakalanya, mata Harimau Muda akan beralih daripada buku cerita yang dipegang oleh Harimau Tua itu dan tangannya akan menggapai pipi Harimau Tua yang sudah berkedut itu.

Kemudian Harimau Muda memegang pipinya sendiri. Lalu dipegangnya kembali pipi Harimau Tua itu. Akhirnya Harimau Muda bersuara, "Pak, apakah bapak ini dicipta oleh Tuhan?"

"Ya, sayangku," jawab Harimau Tua, "Bapak ini dicipta oleh Tuhan lama dahulu."

"Oh," Harimau Muda terhenti sejenak, "Kalau begitu, saya ini juga dicipta oleh Tuhan?"

"Ya, sudah tentu, sayangku," kata Harimau Tua, "Kamu ini dicipta oleh Tuhan baru sebentar tadi."

Sambil memegang wajahnya dan wajah Harimau Tua, Harimau Muda berkata,

"Tuhan ini, makin pandai dia mencipta, ya?"


Pengajaran: Jangan terlalu memperkecil-kecil yang muda, usah terlalu membesar-besarkan yang tua. Yang muda belum tentu rapuh, yang tua belum tentu kukuh.



Wassalam.

Selasa, 11 Januari 2011

Kontroversi Novel Interlok: Pulangkan Sastera Kepada Sasterawan..


Saya bingung melihat rakyat dari pelbagai golongan sibuk bercakaran sesama sendiri hanya disebabkan sikap dan kefahaman masing-masing terhadap novel Interlok karya Sasterawan Negara, Abdullah Hussain. Ada yang meminta supaya ditarikbalik novel tersebut. Ada juga yang membakar novel tersebut. Dari sisi yang lain, ada kelompok yang meminta supaya para pembakar buku ini dikenakan tindakan dan sebagainya. Tidak kurang juga yang dalam diam-diam menghirup keuntungan agenda politik mereka.



Menuntut supaya sesebuah karya sastera diharamkan bukanlah suatu perkara yang baru di Malaysia. Novel "Shit" karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad juga pernah diminta agar diharamkan. Malah gelaran Datuk dan Sasterawan Negara yang disandang beliau turut diminta supaya dilucutkan. Jawatan beliau sebagai Profesor Emeritus di USM juga diminta supaya ditarikbalik. Novel "Shit" juga dibakar dengan penuh kebencian.

Pada hemat saya, barangkali mereka ini terlupa bahawa anak-anak kita sedang memerhatikan perangai orang tua mereka dari jauh. Sedikit sebanyak mereka akan mengikut perangai orang tua mereka. Malulah sedikit. Malu besar kalau apa yang dipertontonkan oleh orang tua mereka itu menyalahi apa yang bakal anak-anak mereka baca melalui novel Interlok ini.

Saya yakin novel tersebut diangkat menjadi bacaan wajib bukan hanya kerana satu dua perkataan yang dianggap menghina oleh segolongan rakyat. Novel tersebut diambil kerana "the higher objective" yang ada padanya - betapa pun kita ini berbeza agama dan keturunan, keamanan dan perpaduan itu lebih utama dan didambakan. Dan anak-anak ini memang sepatutnya mempelajari dan mengambil teladan daripada novel tersebut. Kerana itulah novel tersebut diambil sebagai bacaan untuk matapelajaran Bahasa Melayu di sekolah mereka.

Saya berpendapat bahawa kita diajar supaya membaca buku untuk pandai. Malangnya, ada orang yang belum baca buku sudah tunjuk pandai. Lebih malang, ada orang yang walaupun sudah berkali-kali khatam baca buku, masih tak pandai-pandai.

Novel ini bukan ditulis oleh ahli politik mahupun pelampau perkauman. Ia bukan karangan sembarangan orang. Ia adalah karya yang dihasilkan oleh seorang sasterawan yang mempunyai budi yang halus dan maksud yang dalam. Karya seni yang sarat makna ini harus diperhalusi dengan teliti dan menuntut renungan yang tajam. Khazanahnya takkan dapat dibuka dengan fikiran yang menuduh-nuduh, melulu dan angkuh.

Lapangkan dada, tenangkan fikiran. Bacalah dengan hati yang suci.


Wassalam.

Khamis, 6 Januari 2011

Ahlan Wa Sahlan!



BismiLlahirrahmanirrahim..

Sebagai seorang Muslim, setiap perbuatan yang kita lakukan (termasuk menulis dan membaca tulisan) perlulah dimulakan dengan nama ALlah agar perbuatan tersebut diterima sebagai amal kebaktian kepadaNya..

Penulis serta khalayak siber harus mengambil wahyu pertama - Surah al-`Alaq  sebagai panduan - sama ada dalam menulis atau membaca sesuatu tulisan.

(1) Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (2) Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (3) Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, - (4) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, - (5) Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (6) Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya), (7) Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. (8) (Ingatlah) sesungguhnya kepada Tuhanmu lah tempat kembali (untuk menerima balasan). (9) Adakah engkau nampak (baiknya) orang yang melarang (dan menghalang) - (10) Seorang hamba Allah apabila ia mengerjakan sembahyang? (11) Adakah engkau nampak (buruknya) jika ia berada di atas jalan yang betul? - (12) Atau ia menyuruh orang bertaqwa (jangan melakukan syirik)? (13) Adakah engkau nampak (terlepasnya dari azab) jika ia mendustakan (apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad kepadanya) serta ia berpaling ingkar? (14) Tidakkah ia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat (segala amal perbuatannya dan membalasnya)? (15) Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi sesungguhnya jika ia tidak berhenti (dari perbuatannya yang buruk itu), nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke dalam neraka), - (16) Ubun-ubun (orang) yang berdusta, yang bersalah. (17) Kemudian biarlah ia memanggil kumpulannya (untuk menyelamatkannya), (18) Kami pula akan memanggil malaikat Zabaniyah (untuk menyeksanya)! (19) Ingatlah! Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya, dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)!
Apa pun yang ditulis di ruang ini, jika ada kebaikan padanya, maka ketahuilah bahawa ia datang daripada ALlah yang disampaikan melalui hambaNya. Sebaliknya, jika ada kekurangan dan kelemahan padanya, sesungguhnya penulis dan khalayak harus menerima bahawa hakikat kejadian manusia adalah sebaik-baik kejadian tetapi takkan pernah sempurna.

Selamat membaca!