Selasa, 8 Mac 2011

Republik Maldives Lancarkan Bank Islam Pertamanya

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Pada 7 Mac setiap tahun, Republik Maldives akan meraikan Hari Pengislaman Maldives yang disambut di seluruh negara tersebut dan diisytiharkan sebagai cuti umum.

Apa yang pasti, sambutan Hari Pengislaman Maldives pada tahun ini pastinya lebih bersejarah dengan pelancaran bank Islam pertama di negara tersebut, Maldives Islamic Bank (MIB).



Pelancaran tersebut telah disempurnakan di ibu negara republik tersebut, Male oleh Presiden Republik Maldives, Mohamed Nasheed dengan dihadiri oleh para pegawai kanan kerajaan dan pihak berkuasa perbankan.











































video
 
Klip daripada Haveeru Online


MIB ditubuhkan dengan modal permulaan bernilai Rf150 juta oleh Islamic Corporation for the Development of the Private Sector (ICD) under the Islamic Development Bank (IDB) dan Kerajaan Republik Maldives.






Penubuhan MIB sebenarnya mendapat sentuhan daripada Malaysia melalui Islamic Banking and Finance Institute Malaysia (IBFIM) yang sebelum itu bekerjasama membangunkan pembiayaan Islam di Maldives melalui kajian terperinci ke atas kerangka perundangan dan perbankan Maldives bagi mewujudkan persekitaran yang harmoni untuk perkembangan pembiayaan Islam (pautan di sini).




Walaubagaimanapun, kemampuan sebenar MIB akan teruji apabila berdepan dengan isu perundangan di Maldives seperti: -
  • undang-undang sedia ada yang melarang pemilikan tanah oleh warga asing. (Dalam kontrak pembiayaan Islam yang tertentu, bank Islam perlulah mempunyai hakmilik ke atas hartanah yang ingin dibiayai bagi tempoh tertentu sebelum menjual atau menyewakan hartanah tersebut kepada pelanggan. Manakala MIB dimiliki secara majoriti oleh badan asing iaitu IDB. Ini bermakna MIB masih belum boleh menawarkan kemudahan pembiayaan rumah kepada orang ramai sehingga dan melainkan peruntukan yang berkaitan dalam akta tanah Maldives dipinda)
  • cukai 15% ke atas pindahmilik hartanah. (Cukai ini akan ditambah kepada harga jualan atau kadar sewa hartanah dan ini akan menjadikan pakej pembiayaan ini kurang menarik kepada pembeli rumah)

Ikuti temubual dengan Ketua Pegawai Eksekutif MIB, Harith Harun dengan portal berita Maldives, HaveeruOnline (pautan di sini).

Kita ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak IDB dan Kerajaan Republik Maldives atas usaha murni mereka merealisasikan wawasan perbankan tanpa faedah. Semoga usaha ini berakar daripada kepercayaan yang kuat kepada Islam yang mencerminkan ketaatan beragama dan bukan sekadar aktiviti perekonomian masyarakat.

Akhirnya, renungilah firman ALlah s.w.t dalam Surah al-Baqarah, ayat 278;

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman."
والله أعلم

Tiada ulasan:

Catat Ulasan